Wednesday, April 15, 2015

Contoh Surat Rasmi

MUHD KHAIRUL ANWAR BIN MOHD HASHIM
BLOK H-5-1 KEM BATALION 4 PGA,
43500 SEMENYIH,
SELANGOR DARUL EHSAN.
PENGURUS DELL,
PERSIARAN RIMBA PERMAI,
63000 CYBERJAYA,
SELANGOR DARUL EHSAN.                                                          27 FEBRUARI 2015

Tuan,

PERMOHONAN PEKERJAAN SEBAGAI JURUTERA RANGKAIAN

Merujuk perkara di atas, saya Muhammad Khairul Anwar bin Mohamad Hashim ingin memohon jawatan sebagai Jurutera Rangkaian di syarikat tuan.
2.            Untuk makluman tuan, saya merupakan lepasan pelajar yang mengikuti kursus Diploma in Computer System and Networking di Kolej Poly-Tech Mara Batu Pahat. Pengajian dalam bidang rangkaian selama 3 tahun melayakkan saya untuk memohon jawatan sebagai Jurutera Rangkaian di syarikat ini.
3.            Kursus Diploma yang saya miliki banyak memberikan saya pengetahuan asas tentang komputer dan rangkaian. Pengkhususan saya dalam bidang rangkaian telah memberikan saya kefahaman yang luas mengenai rangkaian.
4.            Tujuan saya memohon pekerjaan sebagai Jurutera Rangkaian adalah disebabkan saya ingin mencari pengalaman pekerjaan di dalam bidang ini. Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman pekerjaan sebelum ini, saya akan cuba untuk menumpukan perhatian dan memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap kerja saya sekiranya saya diterima bekerja di syarikat ini.
5.            Saya amat berharap permohonan kerja ini akan dipertimbangkan. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amat saya hargai.

Sekian,

Yang benar,
khairulanwar

(MUHAMMAD KHAIRUL ANWAR BIN MOHAMAD HASHIM)

Tuesday, April 14, 2015

Contoh Karangan Tentang Pencemaran Alam Sekitar

Pencemaran alam sekitar boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mengotorkan alam sekitar sehingga boleh menjejaskan ekosistem di muka bumi ini. Dewasa ini,era permodenan menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosio ekonomi dijalankan begitu pesat untuk meningkatkan taraf pembangunan negara, namun kita alpa tentang kesan terhadap alam sekitar yang boleh membahayakan diri manusia.Pencemaran alam sekitar telah menjadi satu kemelut yang tidak dapat dielakkan oleh negara kita sehingga mencalarkan nama negara. Negara kita sebenarnya telah terhimpit antara meningkatkan pembangunan negara setaraf negara maju dengan kebajikan terhadap alam sekitar yang perlu di pelihara untuk masyarakat. Bak kata pepatah”di telan mati emak di luah mati bapa”. "Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan kondisi alam sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap kepentingan alam sekitar. Isu-isu tentang alam sekitar kerap dipaparkan dalam surat khabar dan televisyen. Terdapat beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang sering berlaku di negara kita antaranya ialah pencemaran air, udara, dan pencemaran udara. Pada pendapat saya, isu pencemaran alam sekitar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat.

Antara punca utama yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar berada di tahap yang kritikal adalah disebabkan tangan manusia sendiri. Pada kebiasaannya manusia sering kali melakukan pencemaran alam sekitar dalam keadaan sedar ataupun tidak seperti udara, air, tanah, bunyi dan radiasi. Kesan terhadap pencemaran alam sekitar sudah pun disebarkan melalui media massa namun manusia ”durjana” yang tidak mencintai alam memandang  “enteng”  terhadap permasalahan pencemaran alam sekitar. Sifat materialistik yang ada dalam masyarakat pada hari ini juga sukar untuk kita mengurangi masalah pencemaran di atas muka bumi ini. Terdapat juga individu yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan lalu membuang sampah ke dalam sungai. Individu yang membuang sampah ke dalam sungai ini akan menyebabkan sungai dipenuhi dengan sampah sarap lalu sungai menjadi kotor. Selain itu, perbuatan membuang puntung rokok ke dalam semak pula akan menyebabkan kebakaran yang boleh mencemarkan udara. Minda manusia berjiwa rakus seperti golongan pemaju perumahan masih dangkal kerana asyik memikirkan keuntungan. Jadi, kealpaan ini menyebabkan pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana, semakin banyak pokok-pokok ditebang bagi memberikan medan kepada kemajuan sektor pembangunan. Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia tidak dapat diserap oleh sang flora dek kerana populasinya kian merudum. Proses perumahan di kawasan lereng bukit juga harus dihentikan kerana menyoroti peristiwa lampau, tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 menjadi indikator yang jelas bahawa hal ini tidak harus dimanifestasikan.

Punca seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar ini adalah kerana sikap pekerja di sektor pertanian dan industri juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Terdapat segelintir pekerja di sektor pertanian yang membuang sisa racun rumpai ke dalam sungai dan perbuatan ini boleh menyebabkan air sungai tercemar. Selain itu, terdapat juga pekerja di sektor pertanian yang membakar hutan bagi membersihkan tanah untuk bercucuk tanam. Hutan yang terbakar ini akan mengeluarkan asap yang tebal lalu berlakulah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Asap-asap kilang dan kenderaan juga boleh diwartakan sebagai punca-punca pencemaran udara. Ini disebabkan oleh asap-asap hitam yang keluar dari kilang dan kenderaan boleh mengakibatkan asap-asap tersebut terperangkap di ruang udara. Selain itu, terdapat juga gas-gas yang beracun seperti gas monoksida yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan tertutup. Sejenis lagi bahan yang boleh dihasilkan oleh kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kerosakan otak terutama kanak-kanak. Selain itu, manusia juga turut menerima udara yang tidak segar untuk menarik nafas. Ini menimbulkan ketidakselesaan oleh setiap masyarakat dalam kehidupan seharian. Dengan ini jelaslah bahawa pencemaran udara yang dilakukan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab amat memberi kesan terhadap seluruh masyarakat.

Kesan pencemaran alam sekitar yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal. penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini. Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.

Kesan seterusnya berlakunya pencemaran alam sekitar  ini menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur. Hujan asid juga disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan bahan api fossil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fossil seperti minyak dan arang batu oleh logi tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik. Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Ini berlaku apabila asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka yang berpenyakit seperti mengidap asma.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Langkah seterusnya adalah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja, majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini, sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar. Tegasnya,  program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Kesimpulannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi pencemaran terhadap alam sekitar seperti penguatkuasaan undang-undang, kempen-kempen kesedaran, pameran yang berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya. Namun, usaha-usaha kerajaan itu ibarat mencurah air kedaun keladi tanpa disokong oleh pihak-pihak (NGO) dan masyarakat di negara ini.